• 2025-09-10 09:08 PM

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk ganja mampat seberat 15.2 kilogram bernilai RM76,000 di perairan Kuala Perlis.

Kejayaan merampas dadah berkenaan pada jam 4.50 pagi itu adalah hasil rondaan rutin dalam Operasi AMAN oleh Zon Maritim Kuala Perlis.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata operasi itu berdasarkan risikan dan pemantauan selama lebih dua bulan.

Anggota maritim mengesan sebuah bot enjin berkuasa tinggi yang dinaiki dua individu dalam keadaan mencurigakan.

Bot tersebut memecut laju dalam keadaan gelap sebelum membuang beberapa objek ke laut dan melarikan diri ke arah perairan Kedah.

Pemeriksaan lanjut menemui sekarung guni putih berisi 14 ketulan mampat daun kering yang disyaki ganja.

Dadah yang dirampas itu dipercayai mampu menampung kegunaan lebih 30,000 penagih untuk pasaran kawasan utara.

Romli mendedahkan modus operandi sindiket menggunakan bot fiber berkuasa tinggi dari negara jiran tanpa nombor pendaftaran.

Sindiket tersebut bergerak pada waktu gelap sekitar jam 4.30 pagi sambil menunggu air pasang bagi memudahkan penyeludupan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori. – Bernama