PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung aktiviti pengiklanan perkhidmatan membawa masuk dan keluar pendatang tanpa izin yang semakin berleluasa di pelbagai platform media sosial.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata tindakan itu bertujuan menyekat akaun media sosial yang dikenal pasti daripada terus mempromosikan aktiviti jenayah tersebut.

Menurutnya, perbuatan sindiket dan individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan itu kepada warga asing tanpa dokumen sah, menggunakan laluan laut tidak diwartakan untuk keluar masuk negara, bukan sahaja menyalahi undang-undang malah turut mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Selain melanggar undang-undang, tindakan ini membahayakan nyawa penumpang. Pihak terbabit tidak mengambil kira aspek keselamatan seperti penyediaan jaket keselamatan atau pelampung, malah sering membawa muatan melebihi kapasiti bot.

“Maritim Malaysia akan meneliti kandungan akaun media sosial yang memuat naik iklan promosi perkhidmatan haram ini dan bekerjasama dengan agensi lain, khususnya Polis Diraja Malaysia, untuk mendapatkan maklumat bagi tujuan pemantauan dan siasatan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 68 cubaan penyeludupan pendatang tanpa izin berjaya digagalkan tahun lepas, melibatkan penahanan 236 individu dari pelbagai negara. Keselamatan sempadan maritim negara adalah tanggungjawab bersama.