KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot yang disyaki beroperasi tanpa lesen di kawasan perairan Pulau Perhentian semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu Kapten Maritim Hamilidun Che Awang berkata bot itu ditahan kira-kira 3.20 petang di kedudukan 1.1 batu nautika dari Pulau Perhentian Kecil, selain turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 48 tahun yang mengendalikan bot berkenaan.

Beliau berkata ketika ditahan terdapat dua penumpang warga Itali yang dalam perjalanan ke Pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian.

“Pemeriksaan mendapati pengendali bot gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan lesen bot yang sah.

“Dia dibawa ke jeti Pos Maritim Kuala Besut untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.