KUALA LUMPUR: Hasil penilaian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) petang tadi mendapati pergerakan tanah masih berlaku di tempat kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata susulan itu, kawasan lereng bukit terbabit akan ditutup dengan kanvas plastik bagi mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan mengurangkan pergerakan tanah.

“Hasil dapatan mendapati pergerakan tanah dipercayai berlaku dari sebelah kiri lereng bukit.

“Kanvas 30 meter panjang dan 20 meter lebar akan dipasang hari ini sehingga siap dan kita harapkan dengan pemasangan kanvas ini dapat mengurangkan pergerakan tanah terutamanya dalam keadaan ketika ini masih hujan,“ katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd Azam berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan sekiranya cuaca hujan berterusan, hakisan tanah itu akan menjadi lebih besar di kawasan bukit dipercayai milik sebuah syarikat dan pemasangan kanvas akan mengurangkan risiko di sekitar lokasi kejadian.

Beliau berkata pihak JMG dan JKR akan membuat penilaian sekali lagi esok bagi menentukan sekiranya terdapat sebarang pergerakan di lokasi kejadian.

Menurut Mohd Azam setakat 6.30 petang, kerja-kerja pembersihan laluan di sekitar lokasi kejadian mencapai 80 peratus dan jalan tersebut akan dibuka kepada penduduk yang terkesan untuk mengambil barangan peribadi serta membawa keluar kenderaan mereka ke kawasan selamat.

Beliau berkata 33 penduduk daripada 11 keluarga di Jalan E6 dinasihatkan untuk tidak menduduki rumah mereka dan diarahkan berpindah ke dewan orang ramai berhampiran lokasi kejadian.

“Setakat ini hanya Jalan E6 sahaja yang terjejas dan kejadian itu tidak menjejaskan penduduk di laluan lain,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Penguasa Kanan Bomba I Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata pihaknya telah melakukan tindakan awal dengan membersihkan kawasan longkang di bahagian atas bukit bagi melancarkan aliran air.

“Ini kerana laluan air dalam longkang tersebut didapati tersumbat dan dipenuhi kayu serta batu dipercayai akibat keadaan semula jadi hingga berlakunya pergerakan tanah.

“Semburan air dilakukan bagi mengurangkan beban dan membersihkan kawasan longkang itu supaya dapat mengurangkan kesan tersumbat,” katanya.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil semakan mendapati tanah yang terjejas dengan hakisan adalah milik pemaju dan punca gelinciran akan dikenal pasti JMG.

Menurut kenyataan itu, kejadian gelinciran tanah di Jalan Serdang dan Jalan E6 Taman Melawati itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan tiada kerosakan struktur dikenal pasti di rumah berhampiran lokasi kejadian namun aliran air lumpur masih mengalir di kawasan kediaman berdekatan.

“MPAJ akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas bagi memudahkan penduduk untuk keluar masuk ke kawasan kediaman. MPAJ akan memaklumkan jika akses tersebut boleh digunakan semula.

“Sekiranya berlaku sebarang bencana, Unit PANTAS MPAJ sedia untuk dihubungi di talian 03-42857333 atau hubungi agensi berkaitan seperti bomba dan polis,“ menurut kenyataan itu.