LABUAN: Mayat seorang lelaki ditemui terapung di perairan berhampiran Pantai Tanjung Batu semalam.
Ketua Polis Daerah Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata mayat itu ditemui oleh seorang wanita yang sedang mencari landak laut.
Siasatan awal polis mendapati mayat itu mempunyai kaitan dengan kes orang hilang yang dilaporkan di Sundar, Lawas, Sarawak, Khamis lepas.
“Mangsa, Assan Osman, 65 tahun, yang merupakan seorang nelayan dilaporkan hilang ketika keluar mencari hasil laut.
“Pencarian dilakukan keluarga dan penduduk kampung hanya menjumpai perahu miliknya yang hanyut di perairan Sundar,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata pihak polis telah menghubungi keluarga Assan untuk proses pengecaman.
Mayat Assan disahkan anak lelakinya di Jabatan Forensik Hospital Labuan semasa proses bedah siasat dijalankan.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil penuh bedah siasat - BERNAMA