KUALA TERENGGANU: Bau busuk dari sebuah rumah teres di Taman Permint Perdana, Seberang Takir membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki kira-kira 6.30 petang semalam.

Mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemukan oleh jirannya dalam keadaan terbaring di depan pintu masuk kediaman lelaki berkenaan.

Jiran mangsa, Nur Shuhada Hashim, 40, berkata bau busuk tersebut mula disedari empat hari lepas, tetapi menjadi semakin teruk pada petang semalam.

“Jiran kemudiannya meminta suaminya memeriksa rumah mangsa kerana kami syak bau tersebut datang dari sana,“ katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint Perdana malam tadi.

Sementara itu, Sakinah Hassan, 54, berkata suaminya yang mengintai melalui tingkap melihat mangsa yang juga peniaga ikan di Jeti Pulau Kambing, di sini terbaring dalam keadaan sudah tidak bernyawa di depan pintu masuk rumah.

Beliau berkata ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang tiba kemudiannya telah menghubungi pihak polis pada kira-kira 7 malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa tinggal berseorangan di rumah. Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan. Waktu kematian mangsa masih belum dapat dipastikan,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image