• 2025-10-21 12:12 PM

MELAKA: Seorang remaja perempuan cedera di bahagian belakang pinggang dipercayai dilibas dengan objek tajam ketika sedang membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu Melaka berhadapan Taman Tangga Batu Seksyen di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 4.45 petang.

Mangsa berusia 18 tahun yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Tanjung Kling di sini telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya yang juga bekerja di kilang sama.

Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu Sembilan Tangga Batu ketika kejadian berlaku.

Hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian kakak ipar mangsa berusia 21 tahun memaklumkan tiada individu dilihat mengekori motosikal mereka.

Mangsa secara tiba-tiba mengadu berasa sakit di bahagian belakang pinggang dan meminta untuk memberhentikan motosikal di tepi jalan.

Selepas kejadian itu kakak ipar mangsa menyedari sebuah motosikal jenis Yamaha LC V8 warna biru gelap dinaiki seorang lelaki memakai jaket warna gelap dan topi keledar jenis MS warna biru telah memecut laju.

Christopher berkata doktor memaklumkan berdasarkan kesan koyakan panjang pada baju mangsa dan luka dialaminya kecederaan itu dipercayai bukan disebabkan ditikam tetapi seperti dilibas dengan objek tajam.

Kedalaman luka dialami belum dapat dipastikan kerana mengalami pendarahan namun remaja berkenaan berada dalam keadaan stabil.

Siasatan turut mendapati mangsa yang berasal dari Tangkak Johor telah datang ke Melaka kira-kira tiga minggu lepas untuk bekerja di kilang berkenaan.

Mangsa tiada perselisihan faham dengan mana-mana individu selain tidak mempunyai sebarang kenalan di negeri itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya lain. – Bernama