BUKIT MERTAJAM: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengumumkan Pakej 1 bagi Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di sini bermula hari ini.
PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Naza Engineering and Construction Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama untuk pakej itu selepas melalui proses tender terbuka.
Pakej 1 yang meliputi kerja-kerja menaik taraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat dan pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn akan dilaksanakan selama 24 bulan.
Pakej 1 ini adalah sebahagian daripada pakej-pakej Projek PTJSD dan ia bertujuan untuk menyuraikan trafik di kawasan itu untuk perjalanan yang lebih lancar pada masa hadapan.
PLUS memaklumkan secara keseluruhannya Projek PTJSD itu adalah projek berimpak tinggi dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna harian melalui pengurangan kesesakan.
PLUS turut memaklumkan pada peringkat permulaan, kerja-kerja awalan tidak akan mengganggu aliran trafik kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya itu masih kekal dibuka.
Projek itu antara beberapa inisiatif utama untuk Pulau Pinang yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 pada 18 Okt tahun lepas.
Media sebelum ini melaporkan pelaksanaan projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua itu melibatkan lebuh raya sepanjang 17.4km dan jajaran bertingkat sejauh 9km.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari dilaporkan berkata projek berkenaan akan meliputi lapan fasa pembangunan merangkumi persimpangan tanpa lampu isyarat.
Zairil dilaporkan berkata selain pembinaan lebuh raya, beberapa persimpangan kritikal akan dinaik taraf antaranya Persimpangan Bertingkat Juru Utara dan Persimpangan Jambatan Pulau Pinang.
Konsep lebuh raya itu akan memisahkan trafik tempatan dengan trafik aliran terus seperti dilaksanakan di Ipoh, Perak bagi pengguna dalam perjalanan ke Utara dan Selatan.
Projek itu juga melibatkan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi mengurangkan impak kepada pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan PTJSD. – Bernama