ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Selasa lepas, ditemukan meninggal dunia di Sungai Anak Bukit berhampiran kawasan Kampung Alor Madi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai penemuan mayat terapung di sungai itu pada 9.40 pagi tadi.
“Pasukan polis yang menjalankan siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 34 tahun itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah mereput.
“Pemeriksaan terhadap mayat mangsa juga menjumpai dokumen pengenalan diri pada seluar panjang yang dipakai mangsa. Berdasarkan dokumen pengenalan diri itu, mayat terbabit dipercayai lelaki tempatan yang dilaporkan hilang oleh warisnya pagi tadi,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Kampung Alor Madi dan bekerja sebagai pesawah itu dikatakan tidak pulang ke rumah sejak pukul 6 petang, Selasa dan waris membuat laporan berhubung kehilangan mangsa di Balai Polis Anak Bukit pagi tadi.
Siti Nor Salawati berkata mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk proses bedah siasat dan setakat ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh.