SEREMBAN: Mayat seorang lelaki warga Bangladesh ditemui terapung di permukaan Sungai Muar berhampiran Kampung Kuala Gemas, Gemas pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Amiruddien Sariman, pihak polis menerima laporan berkenaan buruh berusia 46 tahun itu pada jam 9.55 pagi.
“Hasil siasatan mendapati mangsa adalah lelaki yang dilaporkan lemas di Pam Air Kampung Bangkahulu, Gemas pada Khamis lepas.
Dia dikatakan terjatuh ketika mahu memasang jaring untuk menangkap ikan dan dilaporkan hanyut sejauh 13 kilometer,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, waris mangsa telah melakukan pengecaman ke atas mayat tersebut.
Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala kes ini disiasat sebagai kematian mengejut.