• 2025-07-15 04:22 PM

KUALA LUMPUR: Isu kekurangan petugas kesihatan di hospital-hospital utama Johor akan dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad petang ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyatakan bahawa isu ini telah dibangkitkan oleh Onn Hafiz dalam perbincangan mereka malam tadi.

“Isu berkaitan petugas kesihatan akan dibincangkan petang ini, insya-Allah, kita sudah ada beberapa cadangan penyelesaian yang akan diusulkan,“ katanya selepas merasmikan AHIBS-ACT 2025 anjuran Azman Hashim International Business School (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Semalam, Onn Hafiz mendedahkan bahawa seorang jururawat di Johor terpaksa mengendalikan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, jauh melebihi nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.

Beliau menyifatkan keadaan ini sebagai membimbangkan kerana ia bukan sahaja menjejaskan moral petugas kesihatan tetapi juga kualiti rawatan pesakit. - Bernama