KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan sebagai sebahagian daripada siasatan, seorang individu telah memberikan keterangan kepada MCMC dan sebuah telefon bimbit telah disita bagi membantu siasatan.

Menurut kenyataan itu siasatan berkaitan hantaran tersebut, dilakukan susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam.

“Individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan MCMC itu memaklumkan bahawa Jalur Gemilang adalah simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan. Penggunaan ilustrasi yang tidak tepat khususnya di platform dalam talian boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.

Sehubungan itu, MCMC menyarankan semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan penjana kandungan digital.

MCMC mengingatkan amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta yang teliti, amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.

MCMC komited untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.