KUALA LUMPUR: Mekanisme pemantauan dan audit hasil kutipan tambahan daripada pelarasan tarif air menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengemukakan soalan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai perkara itu.
Beliau juga ingin mengetahui tindakan terhadap operator yang gagal memenuhi KPI selepas menerima manfaat pelarasan tarif.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta penjelasan mengenai langkah mencapai rundingan tarif 19 peratus dengan Amerika Syarikat.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menyoal tindakan kerajaan untuk mendesak PBB menghentikan serangan Zionis ke atas Gaza.
Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) membangkitkan isu akses pengangkutan awam untuk OKU.
Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) bertanya mengenai pendaftaran pekerja informal dalam sektor penjagaan.
Ahli Parlimen akan menyertai perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 selepas sesi soal jawab.
RMK13 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tema ‘Melakar Semula Pembangunan’.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung sehingga 28 Ogos - Bernama