MELAKA: Kerajaan negeri Melaka memohon Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina tapak pelupusan khas sisa pepejal bagi sektor pembinaan dan komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) di negeri itu dengan kadar segera.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, keperluan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal bagi sektor ICI sangat mendesak kerana kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan jumlah sisa pepejal yang dibuang ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang setiap hari adalah sisa ICI.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkaitan tapak pelupusan ICI ini dan kita akan hantar satu permohonan rasmi untuk memohon pembinaan tapak pelupusan khas berkenaan.

“Ia kerana ketika ini, Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang beroperasi sekarang menjadi kawasan pelupusan bagi sisa domestik dan ICI sehingga tapak tersebut kini berada pada tahap kritikal,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI Daerah Melaka Tengah di Surau Al-Falah, Taman Krobong Jaya yang disertai lebih 100 komuniti setempat kawasan itu.

Mengulas lanjut, Rais berkata, pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal ICI berkenaan akan dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), namun cadangan lokasi dan anggaran kos masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata pembinaan tapak pelupusan khas berkenaan penting demi kesejahteraan rakyat serta pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan baik di negeri itu pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka dan Unit Perancang Ekonomi Negeri akan memastikan Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang menerima peruntukan terbesar berjumlah RM22.31 juta daripada KPKT dirancang dengan sebaik mungkin agar rakyat mendapat manfaat daripada pelaksanaannya.

“Saya akan mendapatkan maklumat terperinci kerana kebanyakan Program RMR berkenaan adalah projek baharu dan bukannya projek disambung... mungkin ia juga melibatkan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara,“ katanya.

Semalam, Nga dilaporkan telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM83.66 juta kepada Melaka untuk merealisasikan 17 projek yang berperanan penting dalam strategi pembangunan komuniti bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat pada program Sentuhan Kasih KPKT di negeri itu.

Beliau dipetik sebagai berkata, peruntukan bagi kategori bina baharu dan projek sambungan itu adalah yang terbesar dalam sejarah Melaka dengan nilai terbesar disalurkan untuk pembinaan baharu projek Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) iaitu RM22.31 juta.