• 2025-07-22 11:26 AM

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan memperkenalkan tag kod respons pantas (kod QR) untuk haiwan ternakan bermula tahun depan. Langkah ini bertujuan mengenal pasti pemilik haiwan seperti lembu dan kerbau yang sering membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Akmal Saleh, berkata sebelum pelaksanaan kod QR, tag manual di telinga haiwan akan diwajibkan mulai Ogos ini.

“Menerusi kaedah ini, tindakan boleh diambil terhadap pemilik yang ternakan mereka berkeliaran hingga menyebabkan kemalangan jalan raya,“ katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri.

Beliau menjawab soalan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) mengenai status pelaksanaan teknologi kod QR untuk haiwan ternakan bebas.

Kod QR tersebut akan diintegrasikan dengan inisiatif Kampung Digital sebagai pusat data tunggal. Penternak akan diberi tempoh untuk latihan dan pendaftaran ternakan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai risiko pemalsuan, Dr Akmal berkata kod QR sukar dipalsukan kerana setiap tag mempunyai nombor siri unik.

“Kalau nak jual ternakan kepada orang lain, perlu maklumkan JPV untuk tukar pemilik dan kod QR,“ jelasnya. - Bernama