• 2025-07-22 04:24 PM

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan penghargaan kepada kartunis Zunar atas sumbangannya dalam menghidupkan industri seni tempatan melalui karya-karya berani yang menyentuh isu politik negara.

Beliau berkata karya Zunar, walaupun keras dan penuh kritikan, membawa mesej mendalam tentang isu semasa yang perlu difahami masyarakat.

“Lakaran seorang seniman datang dari hati berdasarkan keyakinan. Karya yang bebas dan tulus membawa risiko besar,“ kata Anwar semasa pelancaran buku ‘Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar’ di Pustaka Raja Tun Uda.

Anwar turut menekankan pentingnya kebebasan bersuara dalam demokrasi.

“Anak muda perlu tahu keadaan sudah berubah. Kita beri ruang, walaupun tidak semestinya kita setuju atau ia sesuai dengan kepentingan penguasa,“ jelasnya.

Buku setebal 230 muka surat ini mendokumentasikan perjalanan karier Zunar, bermula dari kartun pertamanya di Majalah Bambino hingga karya terkini.

Anwar menggesa orang ramai membeli buku tersebut sebagai menghargai sumbangan Zunar yang sebelum ini sering dicetak semula tanpa kebenaran.

Turut hadir dalam majlis itu isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, dan beberapa menteri kabinet. – Bernama