MELAKA: Seorang barista sebuah kafe dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas kesalahan menghalang kandungannya yang berusia lima bulan dilahirkan dengan menggugurkannya menggunakan ubat yang dibeli melalui laman sosial berharga RM600.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Norazzeti Azima Awang Long, 21, selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 19 Mei lepas.
Wanita itu didakwa telah mengambil ubat Misoprostol sebelum kelahiran bayi dengan niat untuk menghalang bayi itu daripada dilahirkan dalam keadaan hidup.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah tandas di sebuah unit kediaman di Melaka Tengah pada 10 malam 12 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal atas alasan kes itu melibatkan isu sosial yang kini semakin meningkat.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman penjara dan denda minimun kerana anak guamnya melakukan perbuatan terbabit selepas tertekan akibat secara berterusan dipaksa oleh teman lelakinya menggugurkan kandungan yang berusia lima bulan.
Beliau berkata Norazzeti Azima juga menanggung tiga adik serta bapanya yang tidak sihat dengan pendapatan kira-kira RM1,800.
Berdasaran fakta kes wanita itu telah pergi ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami bengkak susu dan mendakwa dia mengalami keguguran.
Bagaimanapun tertuduh kemudiannya mengaku mengambil ubat menggugurkan kandungan yang dibeli menerusi laman sosial pada 12 Mei lepas dan menyerahkan janin kepada rakannya untuk dikebumikan.