KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan kementeriannya mengeluarkan surat bertarikh 28 Julai 2025 berkenaan bayaran gratuiti kepada seorang individu yang tular di media sosial.
Beliau menegaskan surat tersebut palsu dan tidak pernah dikeluarkan sama ada oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) atau dirinya sebagai menteri.
“Kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang jemputan rasmi bagi majlis penyerahan bayaran gratuiti sedemikian. Saya menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan dokumen palsu ini yang jelas mempunyai unsur penipuan,” katanya dalam kenyataan.
Nanta memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. Orang ramai yang ragu-ragu mengenai ketulenan dokumen dinasihatkan menghubungi saluran rasmi KKR di laman sesawang www.kkr.gov.my.
Sebelum ini, tular di media sosial surat pemberian gratuiti lebih RM26 juta kepada waris seorang individu dalam majlis yang kononnya akan diadakan di KKR. - Bernama