PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, menyeru semua 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan rakyat.
Usaha ini bertujuan untuk menambah baik aspek mudah menjalankan perniagaan (ease of doing business), sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing negara Malaysia di peringkat global.
Nga juga menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai isu kelewatan pelaksanaan projek dan kerenah pentadbiran yang telah wujud sejak era 1980-an tidak sepatutnya berulang.
“Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu memastikan perkhidmatan awam yang berkualiti khususnya dari segi proses kelulusan dan pelaksanaan supaya meningkatkan kualiti hidup rakyat dan mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur.
“Kini, Malaysia telah menjadi negara yang pesat membangun di dunia ini dengan pelonjakan 11 anak tangga dari tangga ke-34 ke tangga ke-23 dalam World Competitiveness Ranking. Maka seluruh negara perlu bersatu padu untuk mengorak langkah demi mencipta kegemilangan baharu. Semua PBT perlu bergerak dengan cepat kerana masa itu emas,“ ujar beliau.
KPKT telah menetapkan tempoh maksimum kelulusan sesuatu projek pembangunan berdasarkan skala projek tersebut. Bagi projek berskala kecil, tempoh kelulusan maksimum yang ditetapkan ialah 14 hari. Bagi projek berskala sederhana, tempohnya adalah sehingga 60 hari.
Manakala bagi projek berskala besar, tempoh kelulusan maksimum ialah 120 hari, termasuk proses tender terbuka. Ketetapan ini bertujuan untuk memastikan kelulusan projek dapat dilakukan secara lebih cekap dan teratur mengikut keperluan setiap skala.
Sementara itu, KPKT turut melaksanakan sistem pemantauan prestasi berasaskan ‘lampu isyarat’ sebagai asas pertimbangan kelulusan peruntukan pada masa hadapan. Tiga komponen utama penilaian adalah:
Kecekapan dan pematuhan proses perolehan (30%)
Kemajuan pelaksanaan projek dan pematuhan terhadap jadual kerja dan spesifikasi teknikal (40%)
Ketepatan masa dalam penghantaran dokumen lengkap bagi tuntutan dan penyaluran peruntukan melalui sistem EFT (30%)
PBT akan dikategorikan berdasarkan penilaian ini seperti berikut:
Hijau – Prestasi cemerlang: peruntukan diteruskan atau ditambah
Kuning – Prestasi sederhana: peruntukan akan dinilai semula
Merah – Prestasi lemah: peruntukan akan dipotong atau dibatalkan
Perkara ini dibangkitkan dalam satu pertemuan bersama Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia. Dalam pertemuan tersebut, beliau turut mengambil maklum beberapa kebimbangan yang dibangkitkan oleh wakil PBT termasuk isu latihan untuk pegawai kontrak. Beliau menyatakan bahawa KPKT akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian.
Sesi pertemuan tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali, Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia Datuk Abd Hamid Hussain bersama barisan delegasi Jawatankuasa MALA yang terdiri daripada wakil-wakil PBT seluruh negara.