ANKARA: Menteri-menteri luar negara Arab dan Islam memulakan mesyuarat tertutup di Doha pada Ahad bagi membuat persiapan untuk sidang kemuncak tergempar susulan serangan udara Israel di ibu negara Qatar, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mesyuarat persediaan itu dijangka merangka agenda Sidang Kemuncak Arab-Islam pada Isnin di Doha yang bakal menghimpunkan ketua negara serta pegawai kanan dari seluruh rantau.
Sidang kemuncak itu dipanggil oleh Qatar sebagai tindak balas terhadap serangan Israel yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha pada Selasa, mengorbankan lima anggota kumpulan itu dan seorang pegawai keselamatan Qatar.
Qatar, bersama Amerika Syarikat dan Mesir, sebelum ini bertindak sebagai pengantara dalam rundingan untuk menamatkan perang Israel di Gaza, yang setakat ini telah meragut lebih 64,800 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023 - BERNAMA-ANADOLU