KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 49 kertas siasatan berhubung kes penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dengan kerugian RM6.79 juta bagi tempoh empat bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pusat panggilan yang ditubuhkan sejak tahun lepas itu dikesan telah dimanipulasi oleh sindiket penipuan dengan menyamar sebagai pegawai NSRC untuk memperdaya mangsa.

Beliau berkata dalam beberapa kes, lelaki yang mengaku ‘pegawai’ NSRC itu akan menghubungi mangsa dan memaklumkan pihaknya akan membatalkan nombor telefon mangsa berikutan terdapat aduan ia telah digunakan dalam aktiviti penipuan.

“Panggilan itu kemudiannya akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan yang diberikan sehinggalah kepada membuat pindahan wang ke akaun bank yang ditetapkan dan seterusnya mengalami kerugian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu sekiranya menerima panggilan dari NSRC kerana pusat panggilan tersebut adalah berbentuk komunikasi sehala yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai serta tidak pernah membuat panggilan kepada mana-mana individu.

“Justeru sebarang panggilan yang kononnya dari pihak NSRC adalah satu penipuan dan bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan atas talian, PDRM menggesa mereka yangmenjadi mangsa segera menghubungi NSRC di talian 997 bagi melaporkan insiden,” katanya.

NSRC ditubuhkan hasil usaha sama PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta institusi kewangan sebagai pusat operasi bagi menyelaras tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian terutama mengesan wang yang telah dipindahkan berpunca kes penipuan dalam talian.