• 2025-07-18 12:53 PM

JOHOR BAHRU: Sebanyak 10 murid cedera selepas van sekolah dinaiki mereka terbalik di Jalan Abdul Samad di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 7 pagi dan mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

“Van itu dinaiki 16 murid dan pelajar terdiri daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, tiga pelajar SMK Aminuddin Baki dan 10 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.

“Kesemua 10 murid SJKT Jalan Yahya Awal yang cedera itu antaranya mengalami patah tangan, patah jari dan kecederaan ringan lain. Masing-masing berusia antara 10 hingga 12 tahun,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Beliau berkata insiden itu amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan anak-anak yang masih di bangku sekolah.

Beliau turut memberi jaminan kesemua mangsa akan menerima rawatan dan pemantauan kesihatan terbaik.

Pihak berkuasa juga, katanya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan dan tindakan sewajarnya akan diambil demi menjamin keselamatan pelajar.

“Sama-sama kita doakan agar semua yang cedera segera sembuh dan dipermudah segala urusan mereka serta keluarga,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan - BERNAMA