• 2025-07-18 12:59 PM

SIBU: Seorang pekerja syarikat pembalakan ditemukan maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya dipercayai terjunam ke dalam gaung berhampiran Kem Nibong di Belaga. Mangsa, Himang Lisang, 49, dilaporkan hilang sejak Selasa sebelum mayatnya ditemui kira-kira 9.30 pagi oleh petugas syarikat yang melakukan pencarian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Belaga tiba di lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8 pagi. “Mayat mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari Kem Nibong,“ katanya.

Menurut laporan pengurus syarikat, Himang keluar dari kem sekitar 4.30 petang Selasa untuk membeli barangan dan bekalan makanan. “Setelah tidak pulang dan tidak dapat dihubungi, kami membuat laporan polis dan memohon bantuan agensi penyelamat,“ jelas pengurus tersebut - Bernama