KUALA LUMPUR: Malaysia dan Rusia terus memperkukuh kerjasama dua hala menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia dalam bidang ekonomi, sains, teknikal dan kebudayaan (JC-ESTC) yang akan diadakan di Malaysia tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata mesyuarat itu antara lain bagi membincangkan cadangan peluasan program biasiswa serta perkembangan pelbagai inisiatif di bawah JC-ESTC.
“Tumpuan khusus turut diberikan kepada persiapan Dialog Sumber Mineral Malaysia-Rusia dan Forum Pendidikan Tinggi, dua platform penting yang akan dianjurkan serentak bersempena dengan Mesyuarat JC-ESTC.
“Acara ini dijangka menghimpunkan tokoh industri, ahli akademik dan penyelidik dari kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Mesyuarat itu susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia bulan lepas, yang telah mengamanahkan beberapa perkara untuk dilaksanakan termasuk melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Zambry berkata perancangan berkenaan dibincangkan semasa menerima kunjungan Duta Besar Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov petang semalam.
“Saya percaya kerjasama antara Malaysia dan Rusia akan terus diteroka bersama bagi membina lebih banyak rangkaian dalam pelbagai bidang, sekali gus menghasilkan lebih banyak capaian dan kejayaan kepada rakyat kedua-dua negara.
“Komitmen tinggi ditunjukkan Kerajaan Rusia yang turut meyakini sistem pendidikan negara sebagai satu daripada hab terbaik di rantau ini membuatkan institusi pengajian tinggi dalam negara perlu terus meningkatkan prestasi masing-masing,” katanya.