• 2025-06-27 09:52 PM

MEXICO CITY: Dewan Timbalan Mexico sebulat suara meluluskan pindaan undang-undang alam semula jadi liar yang melarang penggunaan mamalia laut termasuk ikan lumba-lumba untuk tujuan komersial atau hiburan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Tiada mamalia laut, tanpa mengira spesies, boleh dieksploitasi secara ekstraktif sama ada untuk sara hidup mahupun tujuan komersial. Penangkapan hanya dibenarkan bagi tujuan pemulihan, perekrutan dan pelepasan semula spesies ini ke habitat semula jadi mereka,” menurut kenyataan dewan itu.

Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Senat dan kini akan dibawa kepada pihak eksekutif untuk penguatkuasaan. Semasa perbincangan, ahli parlimen daripada parti pemerintah dan pembangkang menyatakan pindaan itu akan menamatkan pembiakan paksa mamalia laut dan penggunaannya dalam persembahan hiburan popular.

Mulai sekarang, penyelidikan saintifik yang melibatkan mamalia laut hanya boleh dijalankan oleh pusat akademik atau saintifik berdaftar dan perlu mendapat kelulusan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli Mexico. Setasea tidak lagi dibenarkan disimpan dalam kolam atau takungan.