• 2025-08-02 02:59 PM

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan (Mindef) menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat kematian seorang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Ulu Tiram, Isnin lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jawatankuasa itu turut melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri. “Saya difahamkan bedah siasat sudah pun dibuat tetapi kita belum dapat keputusan. Di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa untuk siasat punca dan sebab kematian mangsa,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang hari ini. Sebelum ini, sebuah portal melaporkan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, membuat laporan polis selepas jenazah anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, ditemui dengan kesan lebam teruk.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian pegawai kadet berusia 22 tahun itu. Laporan insiden diterima pada 5.33 petang, 28 Julai lepas. Siasatan awal mendapati mangsa tiba-tiba meracau dan hilang kawalan ketika latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, kira-kira 2.30 petang hari sama. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan disahkan meninggal dunia semasa rawatan di zon kecemasan. - Bernama