• 2025-07-31 12:43 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memperkukuh semua inisiatif negeri yang selari dengan aspirasi nasional dan memberi ruang yang kondusif untuk pelaksanaannya di bawah payung Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MITI sentiasa mengiktiraf dan menyokong inisiatif pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri sebagai pelengkap kepada agenda nasional dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor negara.

“Antara contoh terbaik ialah usaha yang diterajui oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), melalui penubuhan Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia dan juga pelaksanaan program pertukaran semikonduktor global.

“Inisiatif seperti ini akan diselaraskan serta diintegrasikan secara strategik ke dalam kerangka pembangunan bakat ini di bawah pelan NSS, khususnya dalam teras pembangunan modal insan yang menjadi tunjang kepada pertumbuhan industri semikonduktor,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta menteri menjelaskan langkah yang diambil oleh kerajaan Persekutuan dengan negeri-negeri dalam mencapai sasaran untuk mendapatkan atau melatih keupayaan hingga 60,000 jurutera di bawah NSS.

Tengku Zafrul turut menyeru kerajaan negeri Selangor untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak berkaitan berkenaan program pembangunan bakat sedia ada di peringkat nasional.

“Pendekatan ini selari dengan matlamat nasional untuk menangani isu kekurangan jurutera dan profesional berkemahiran tinggi dalam keseluruhan rantai nilai semikonduktor.

“MITI juga komited untuk membina ekosistem yang lebih kolaboratif dan juga inklusif yang melibatkan kerajaan negeri, industri dan juga institusi pendidikan tinggi. Ini bagi memastikan pembangunan bakat dalam sektor semikonduktor ini dilaksanakan secara mampan dan juga bersifat jangka panjang,” katanya - BERNAMA