• 2025-07-20 07:54 PM

BANDAR BAHARU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan modul rawatan dan pemulihan baharu yang menekankan pendekatan holistik, mesra klien, serta berasaskan bukti bagi memperkukuh sistem pemulihan penagihan dadah di Malaysia.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata, modul ini dirangka untuk memastikan kaedah rawatan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, terutamanya dalam menangani isu dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu.

“Modul ini menggabungkan pendekatan biospsikososial spiritual dan rawatan berasaskan bukti dengan kerjasama pelbagai pihak,“ jelasnya semasa merasmikan Hari Terbuka AADK di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di sini.

Beliau menambah bahawa modul ini selari dengan agenda Malaysia MADANI untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui intervensi yang lebih inklusif.

“Strategi pemulihan berfasa turut dikemas kini, menekankan pemerkasaan kendiri, sokongan komuniti, dan integrasi semula ke dalam masyarakat,“ katanya.

Hari Terbuka AADK bertujuan memberi maklumat terkini mengenai perkhidmatan agensi dalam bidang pencegahan, rawatan, pemulihan, dan penguatkuasaan. - BERNAMA