• 2025-07-21 05:09 PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaburan dalam sektor pembuatan terus memberi impak positif kepada ekonomi negara, dengan manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, kadar gaji, dan nilai tambah industri.

Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa pelaburan besar-besaran tidak membawa hasil. “Mereka kata pelaburan berbilion-bilion, mana dia (hasilnya), tak ada apa pun. (Hakikatnya) dah operasi 86 peratus (daripada projek yang diluluskan),“ jelas Anwar semasa berucap di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebanyak 3,494 projek pelaburan sektor pembuatan diluluskan sejak 2021 hingga Jun 2025, dengan 3,095 projek atau 86.4 peratus telah beroperasi. Kadar pelaksanaan projek mencatat 90.6 peratus pada 2023 dan 79.2 peratus pada 2024, manakala suku pertama 2025 mencatat 49.8 peratus.

Anwar turut memaklumkan bahawa kebanyakan projek yang direalisasikan memberi tumpuan kepada bidang digital dan hijau. Pelaksanaan ini berjaya mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan bagi suku pertama 2025.

Gaji median sektor pembuatan juga meningkat 5.4 peratus kepada RM2,745 berbanding RM2,600 pada tahun lalu, selaras dengan pelaksanaan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700.

Selain itu, sejak penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) pada Disember 2023, sebanyak 28,166 permohonan pelabur telah dipermudahkan dengan kadar penyelesaian 99.9 peratus. Permohonan tersebut meliputi kelulusan, permit, kuota pekerja asing, utiliti, dan percukaian. - Bernama