• 2025-07-21 04:59 PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kejayaan kerajaan mengurangkan hutang baharu tahunan kepada RM77 bilion pada 2024, berbanding RM99 bilion pada 2022. Beliau menegaskan komitmen kerajaan dalam pengurusan fiskal yang lebih berhemat.

“Kerajaan berjaya turunkan hutang baharu daripada RM99 bilion pada 2022 ke RM93 bilion pada 2023, dan kini RM77 bilion pada 2024. Ini bukti kita tunaikan janji,“ kata Anwar semasa berucap di majlis perjumpaan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau menjelaskan bahawa pengurangan hutang baharu dilakukan tanpa mengabaikan pembayaran faedah hutang lama. “Ada pihak seolah-olah menuduh kita menipu rakyat, tetapi angka ini jelas menunjukkan siapa yang jujur,“ tambahnya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyatakan bahawa defisit fiskal negara turun daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024, dengan sasaran 3.8 peratus tahun ini. “Kita kurangkan secara berperingkat supaya pembangunan negara tidak terjejas,“ jelasnya.

Beliau membandingkan pengurusan ekonomi negara dengan ekonomi rumah tangga. “Kalau pendapatan RM5,000 tetapi belanja RM7,000, itu defisit. Sekarang kita turunkan belanja secara beransur-ansur,“ katanya.

Selain itu, Anwar memuji pencapaian Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025, ke kedudukan ke-23 berbanding ke-34 pada 2024. “Ini hasil kerja keras pasukan perkhidmatan awam,“ ujarnya.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut memuji reformasi fiskal Malaysia, termasuk pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA). “Kita serahkan sebahagian kuasa kepada Parlimen untuk penilaian,“ kata Anwar. - Bernama