KUALA LUMPUR: Peningkatan nilai kumulatif perdagangan Malaysia pada separuh pertama 2025 sebanyak 4.8 peratus kepada RM1.465 trilion mencerminkan ketahanan ekonomi negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti kekuatan perdagangan luar negara.
“Kita menyaksikan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan ke pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Taiwan, dan Mexico. MITI dan Matrade terus berusaha memperkukuh ekosistem perdagangan melalui pelbagai inisiatif termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA),“ katanya dalam kenyataan di platform X hari ini.
Lebihan dagangan negara juga menunjukkan prestasi positif dengan lonjakan kepada RM8.59 bilion pada Jun 2025 berbanding RM759.9 juta pada Mei lalu. Ini menandakan bulan ke-62 berturut-turut lebihan dagangan sejak Mei 2020.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan eksport ialah peningkatan permintaan terhadap minyak sawit dan produk pertanian berasaskannya, yang mencatat pertumbuhan dua digit selama 15 bulan berturut-turut. Sektor jentera, kelengkapan, serta barangan elektrik dan elektronik (E&E) turut menyokong prestasi eksport. - Bernama