• 2025-07-21 04:56 PM

KOTA BHARU: Seorang wanita bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun berjaya diselamatkan orang awam selepas dipercayai cuba terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini malam tadi.

Kejadian berlaku sekitar pukul 11.10 malam, dengan orang ramai bertindak pantas membantu sebelum pasukan bomba tiba.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim Suhaimi Othman, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.20 malam dan segera bergerak ke lokasi.

“Wanita berusia 35 tahun itu dilihat berada di tepi jambatan bersama anaknya, dikerumuni orang ramai yang cuba menenangkannya,“ katanya.

Pasukan bomba mengambil masa 20 minit untuk memujuk wanita tersebut. Siasatan awal mendapati dia menunggang motosikal Honda Wave dari Panji sebelum berhenti di atas jambatan.

“Mangsa mengaku menghadapi masalah kewangan termasuk tunggakan sewa rumah, tetapi enggan bercakap lebih lanjut,“ tambah Suhaimi.

Wanita dan anaknya kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. - Bernama