• 2025-09-22 06:50 PM

BALIK PULAU: Pelaksanaan beberapa projek fizikal oleh Kementerian Kewangan (MOF) termasuk menaik taraf kemudahan asas menerusi program Kampung Angkat MADANI memberikan nafas baharu buat Pulau Betong, di sini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata berkata inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan taraf kualiti kehidupan penduduk, tetapi kawasan itu yang berhampiran pantai dilihat berpotensi dijadikan lokasi ekopelancongan.

“Pulau Betong dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI selepas penilaian mendapati kemudahan asas sedia ada di sini memerlukan perhatian khusus, selain melihat potensi ekopelancongan boleh dikembangkan bagi menyemarakkan ekonomi setempat.

“Kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk 1,200 orang dan potensi tarikan utama di sini ialah sektor ekopelancongan iaitu pantai, hasil laut dan aktiviti memancing,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Kampung Angkat MADANI Menteri Kewangan II di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata Pulau Betong turut mempunyai landskap geografi terdiri daripada bukit bukau, dusun durian, ladang gaharu, penternakan tiram, udang dan ketam nipah serta eksplorasi sungai dan paya bakau yang boleh dijadikan daya tarikan pelancong.

Selain itu, Amir Hamzah memaklumkan terdapat 24 inap desa diusahakan penduduk dalam kawasan Pulau Betong dan pihaknya melaksanakan 23 projek menaik taraf di bawah program Kampung Angkat MADANI yang akan selesai hujung tahun ini.

Antaranya menaik taraf Surau Al-Hidayah, dewan perpustakaan, Masjid Ar Raudhah, laluan pejalan kaki, tandas, pagar dan taman permainan.

Turut dinaik taraf ialah tempat letak kereta dan pembinaan pusat penjaja, baik pulih tandas jeti, pengindahan sungai dan titi Kuala Sungai Betong serta menaik taraf kawasan rekreasi Dataran Kuala Pulau Betong serta pembinaan arca di lokasi menarik sebagai tarikan pelancongan.

Beliau berkata inisiatif itu turut melibatkan kerjasama antara MOF dengan Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya, Balik Pulau dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Bagi program bukan fizikal pula, beliau berkata ia merangkumi usaha memperkasakan rakyat melalui penganjuran kelas tambahan untuk pelajar, bimbingan kemahiran dan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung.

Selain Pulau Betong, beliau berkata tiga lagi kampung terpilih sebagai Kampung Angkat MADANI MOF ialah Kampung Bukit Indera Muda, Kampung Guar Perahu dan Kampung Terus di kawasan Parlimen Permatang Pauh di Seberang Perai Tengah.

Amir Hamzah berkata sebanyak RM200 juta diperuntukkan tahun ini melalui Belanjawan 2025 bagi melaksanakan program Kampung Angkat MADANI di 200 buah kampung terpilih di seluruh negara - Bernama