KUALA TERENGGANU: Bekas pemain hoki remaja kebangsaan Mohamad Asmawi Zaidi yang tular kerana berkeliaran di sekitar Taman Kerang, Kuantan sudah ditemukan dan akan dibawa pulang ke pangkuan keluarganya di Kemaman.

Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT) Mohd Fikri Harun berkata beliau serta beberapa kakitangan pengurusan telah berusaha menjejaki Mohamad Asmawi sejak videonya merayau di tempat awam sambil meracau seperti orang tidak siuman tular di media sosial.

Beliau berkata ketika dijumpai, Mohamad Asmawi yang hanya berseluar panjang sedang tidur di atas lantai tanpa alas.

“Fizikalnya tampak kurus dan keadaannya juga lemah. Mawi (Mohamad Asmawi) juga tidak sedar kehadiran kami walaupun dulu cukup rapat dengan saya ketika di PHT.

“Kami tidak boleh mendekatinya secara agresif kerana bimbang Mawi akan lari ke tempat lain. Ini akan menyukarkan perancangan kami dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membawa pulang Mawi ke kampungnya di Kemaman,“ katanya ketika dihubungi.

Mohd Fikri berkata PHT juga merancang untuk membawa Mohamad Asmawi ke hospital bagi mendapatkan rawatan pemulihan daripada pakar.

“Menurut keluarganya, Mawi mengalami gangguan mental sudah lama dan sering berhalusinasi.

“Pelbagai usaha telah dilakukan keluarganya, namun keadaannya tidak bertambah baik dan pergerakannya juga sukar dikawal,“ katanya.