PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-49 hari ini bersetuju dengan Garis Panduan Perancangan Sekolah Vertikal di Skim Perumahan Berbilang Tingkat yang disediakan oleh PLANMalaysia.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan garis panduan ini merupakan langkah inovatif untuk mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan bandar berkepadatan tinggi.
Garis panduan tersebut menandakan kemajuan penting dalam merangka model pendidikan bandar yang mampan, moden dan holistik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memperakukan cadangan pembinaan Bandar MADANI Bukit Jalil oleh PR1MA.
Bandar MADANI Bukit Jalil akan menampilkan rumah pintar, sekolah vertikal, mobiliti pintar dan penggunaan teknologi tenaga boleh baharu bermula tahun depan.
MPFN juga mengambil maklum mengenai Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang berkuat kuasa pada 11 Jun lepas.
Pelan tersebut menggantikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 dengan matlamat menjadikan ibu negara lebih inklusif, mampan dan berdaya huni menjelang 2040.
Mesyuarat turut meneliti Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040) bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kajian yang disediakan oleh Kementerian Kerja Raya ini melibatkan 47 projek jalan baharu dan 80 projek menaik taraf dengan jarak keseluruhan 2,388.32 kilometer.
HNDP 2040 mencerminkan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan wilayah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar.
Pelan ini juga memastikan akses pengangkutan lebih selamat, moden dan inklusif dinikmati seluruh rakyat Malaysia.
Sebanyak enam kertas kerja melibatkan empat kertas persetujuan dan dua kertas makluman telah dipertimbangkan dalam Mesyuarat MPFN kali ini. – Bernama