KUALA TERENGGANU: Simpati dengan nasib 15 keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan di Gerik, Perak pada Isnin lepas, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) tampil menyalurkan sumbangan kewangan kepada mereka.
MRL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa setiap waris mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, menerima sumbangan berjumlah RM2,000 bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Walaupun jumlah sumbangan ini tidak seberapa, kami berharap ia dapat membantu memenuhi keperluan keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu.
MRL turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terkesan, serta mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat itu.
“Inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan MRL dalam menyantuni dan membantu meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah, kurang berkemampuan serta anak yatim, khususnya di kawasan berhampiran jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” menurut kenyataan itu.
Penyerahan sumbangan itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRLDatuk Seri Darwis Abdul Razak, hari ini.
Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza di JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 individu lain cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas, serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.