KUANTAN: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menanam 3,000 anak pokok di Hutan Simpan Kekal Lentang, Bentong melalui program “Rail to Roots: Pemuliharaan Hutan Terdegradasi dan Pembinaan Kapasiti”.
Fasa pertama program bermula pada 19 Disember tahun lepas melibatkan penanaman 600 anak pokok manakala 2,400 lagi ditanam secara berperingkat dalam fasa kedua bermula suku pertama tahun ini.
“Pokok terlibat merangkumi spesies merbau, meranti bukit serta nadir hutan sebagai usaha restorasi memelihara kelestarian biodiversiti hutan” menurut kenyataan itu.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, sebanyak 68 peserta terdiri daripada ahli lembaga pengarah, pengurusan tertinggi dan warga kerja MRL menanam 68 pokok yang melengkapkan sasaran 3,000 anak pokok.
Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Pengerusi MRL dan turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
MRL memaklumkan inisiatif itu memperkukuh komitmen syarikat terhadap pemeliharaan khazanah alam semula jadi, selain menjadi simbolik sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Darwis berkata program Rail to Roots merupakan manifestasi usaha MRL mewujudkan keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.
“Program ini sejajar dengan simbol hijau dan berjaya menyemai lebih 17,000 benih pokok sehingga Mei 2025 menerusi 15 tapak semaian” katanya.
Perkembangan ini turut membuka lembaran baharu dalam menjana pendapatan komuniti Orang Asli serta membina masa depan lebih lestari.
MRL menaja sepenuhnya 15 tapak semaian komuniti Orang Asli di Kampung Ulu Chemperoh dengan sokongan latihan dan bimbingan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Anak pokok dihasilkan dibeli semula melalui inisiatif Buyback Guarantee yang membantu komuniti Orang Asli menjana pendapatan serta membuka peluang ekonomi lebih mampan. – Bernama