CYBERJAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa Komuniti MADANI untuk memuat turun aplikasi “Price Catcher” bagi membantu Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menangani masalah kenaikan harga barang yang mendadak.

Beliau berkata melalui aplikasi tersebut, pengguna boleh membuat perbandingan harga dengan mudah dan sekiranya mereka mengesan kenaikan mendadak ke atas harga barangan tertentu, Komuniti MADANI boleh memaklumkan kepada pegawai penerangan daerah yang bertugas di komuniti masing-masing.

“Maklumkan di tempat masing-masing apa produk yang ada, apa kesukaran, supaya kita boleh bekerjasama dengan KPDN untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang.

“Inilah antara fungsi dan tugas kita sebagai komuniti MADANI,” katanya dalam pertemuan dengan kira-kira 2,000 ahli Komuniti MADANI dalam satu sesi bersempena majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, di sini hari ini.

Aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh KPDN itu memaparkan harga 480 barangan terpilih di pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit yang dipantau.

Terdapat enam kategori barangan yang dipantau iaitu barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman.

Fahmi turut berharap Komuniti MADANI yang merupakan badan sukarela daripada pelbagai kaum dan latar belakang itu dapat memainkan peranan lebih serius dalam memantau harga barang, terutama selepas kenaikan gaji penjawat awam pada Disember nanti.

Komuniti MADANI yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia ditubuhkan sejak Jun tahun lepas berperanan membantu menggerakkan komunikasi kerajaan dengan lebih berkesan.

Program Pemukiman Komuniti MADANI merupakan program bicarawara secara santai dalam memperkasakan kefahaman, dasar, inisiatif, hala tuju dan strategi kerajaan dengan menghimpunkan ahli Komuniti MADANI di Semenanjung Malaysia.

Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat itu bermula 9 pagi hingga 4.30 petang, dengan pelbagai program disediakan bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan itu pada pukul 3 petang.