SINGAPURA: Mufti paling lama berkhidmat di Singapura, Syed Isa Mohamed, meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Pemergian beliau disahkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan media.
“MUIS amat berdukacita dengan pemergian Allahyarham. Komitmen Allahyarham yang tidak berbelah bahagi serta usaha gigih dalam memajukan masyarakat Islam yang yakin dan progresif telah memberikan impak besar kepada Singapura dan di luar negara,“ menurut kenyataan itu.
Syed Isa berkhidmat sebagai Mufti Singapura dari 1972 hingga 2010. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi Islam di negara itu.
Antara sumbangan utamanya termasuk penubuhan sistem kalendar Islam, pengurusan zakat, program bantuan sosial, dan pembangunan masjid.
Beliau juga menjadi peneraju dalam penubuhan sistem pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain itu, Syed Isa aktif dalam mempromosikan keharmonian antara agama melalui penglibatannya dalam Majlis Pertubuhan Antara Agama Singapura (IRO).
Atas jasa beliau, Syed Isa menerima pelbagai anugerah termasuk Pingat Pentadbiran Awam (Emas) dan Pingat Jasa Gemilang.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, turut mengucapkan takziah dan menghargai sumbangan beliau kepada masyarakat Melayu/Islam.
“Kepimpinan beliau telah membantu membentuk institusi penting, memperkukuh pentadbiran agama dan menyokong pertumbuhan serta pembangunan masyarakat Melayu/Islam kita,“ kata Wong dalam satu catatan di Facebook. - Bernama