KUALA LUMPUR: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi berazam untuk menebus kekecewaan di Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 pada Kejohanan Olahraga Terbuka India di Stadium Kalinga, Bhubaneswar bermula 10 Ogos ini.
Muhammad Azeem mengakui tidak berpuas hati dengan pencapaiannya di WUG meskipun melakar sejarah sebagai atlet negara pertama beraksi dalam final acara 100 meter (m) di temasya dwitahunan itu dan menduduki tempat keempat dengan catatan masa 10.35 saat (s).
Atlet berusia 21 tahun itu menyifatkan catatan 10.35s itu tidak mencerminkan prestasi terbaiknya kerana mempunyai masa terbaik musim ini 10.20s yang dilakukan di Amerika Syarikat pada Mei lepas.
“Saya agak kecewa dengan diri sendiri sebab saya tahu boleh buat lebih baik (di WUG). Bagi saya dengan catatan 10.35s itu masih tidak memuaskan hati.
“Oleh itu, saya akan kembali berbincang dengan jurulatih bagi persiapan menghadapi kejohanan seterusnya di Terbuka India. Saya teruja untuk cipta sesuatu di sana,” kata pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu baru-baru ini.
Di Jerman, selain menamatkan saingan acara reben biru di tempat keempat, Muhamamd Azeem turut mara ke separuh akhir 200m dan membantu kuartet 4x100m negara ke final.
Kejohanan Terbuka India merupakan satu daripada kejohanan berstatus gangsa dalam siri Jelajah Benua anjuran Olahraga Dunia.
Sementara itu, Muhammad Azeem masih belum membuat keputusan berhubung penyertaannya pada Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung dari 29 hingga 31 Ogos ini.
Beliau berkata tarikh kejohanan di ibu negara itu bertembung dengan permulaan jadual kuliahnya di Universiti Auburn, Amerika Syarikat sekali gus menyukarkan penyertaannya.
“Satu kerugian kalau saya tidak sertai kerana kejohanan itu menawarkan mata ranking,” kata pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s itu.
Sebagai rekod, Muhammad Azeem merangkul gelaran Raja Pecut pada Terbuka Malaysia 2024 dengan catatan 10.43s. - BERNAMA