KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Muhammad Haikal Nazri mendedahkan yang beliau pernah berhasrat untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selepas buntu mencari pasangan baharu susulan ‘perpisahannya’ dengan Nur Izzuddin Rumsani, tahun lepas.
Mengimbau kembali detik tersebut, Muhammad Haikal berkata beliau sedikit tertekan berdepan dengan situasi berkenaan, selain cemburu melihat beberapa rakan sepasukannya memenangi gelaran pada kejohanan disertai mereka.
“Lama kelamaan diri sendiri terasa bila tengok orang lain jadi juara, bila pula saya? Masa itu saya rasa kelam kabut sebab tiada pasangan...rasa tertekan sikit, kadang-kadang rasa mahu keluar daripada BAM,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, di sini baru-baru ini.
Pemain berusia 21 tahun itu yang sebelum ini pernah berpasangan bersama Wan Muhammad Arif Wan Junaidi, mula membentuk gandingan bersama Nur Izzuddin, pada Mac tahun lepas.
Muhammad Haikal-Nur Izzuddin hanya bertahan selama sebulan selepas beraksi dalam tiga kejohanan, dengan pencapaian terbaik bergelar naib juara Cabaran Antarabangsa Vietnam selepas tumpas kepada pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi, 16-21, 21-19, 16-21, juga pada Mac.
Nur Izzuddin kemudian kembali berpasangan dengan Goh Sze Fei sejak Mei tahun lepas.
Dalam pada itu, Muhammad Haikal berkata kata-kata semangat daripada keluarganya dan Nur Izzuddin, membuatkan dirinya menarik balik hasrat untuk keluar daripada badan induk sukan badminton negara itu.
“Saya ada terfikir juga keluarga di kampung, malah Nur Izzuddin pernah nasihatkan (untuk kekal di BAM) selain mempersoalkan mengapa mahu keluar sebab saya masih muda,” katanya.
Pemain kelahiran Kelantan itu berkata keputusan untuk bersama pasangan terbarunya Choong Hon Jian, dibuat selepas dicadangkan ketua jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen.
Biarpun baru dibentuk empat bulan lepas, Hon Jian-Muhammad Haikal membuktikan gandingan mereka membuahkan hasil, dengan meraih dua kejuaraan dalam tempoh seminggu di India, bulan lepas.
Pasangan ranking ke-52 dunia itu, merangkul kejuaraan sulung sekali gus mengejutkan pasangan ke-14 dunia Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun, 18-21, 21-18, 21-16 pada Kejohanan Antarabangsa Syed Modi India 2023.
Mereka kemudian mengekalkan rentak kemenangan dengan menundukkan beregu Taiwan Lin Bing Wei-Su Ching Heng, 21-17, 23-21, untuk muncul juara Masters Guwahati 2023.
Ditanya sasaran mereka musim ini, Muhammad Haikal berharap dapat menembusi kelompok 20 beregu lelaki terbaik dunia, selain menampilkan aksi konsisten dengan mara sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam setiap kejohanan disertai.
“Untuk jangka pendek pula, harap dapat masuk 32 terbaik sebab boleh main kejohanan besar. Sebabnya bila main di sana, dapat kumpul pengalaman beraksi dengan pasangan terbaik dunia seterusnya meningkatkan keyakinan kami,” katanya.
Muhammad Haikal-Hon Jian dijadual membuka kempen 2024 dengan beraksi pada Masters Indonesia di Jakarta dari 23 hingga 28 Jan ini.–Bernama