DUNGUN: Seorang murid tahun enam berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Kampung Delong ditemui lemas pagi ini selepas tiga hari operasi pencarian dijalankan.
Penolong Penguasa Bomba Zon 2 Terengganu Sa’ariah Hassan berkata mayat Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman ditemui terapung pada pukul 8.24 pagi, kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian.
“Operasi pencarian melibatkan tiga buah bot dan kira-kira 40 anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, bomba, NGO dan penduduk kampung,” katanya.
Mayat mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Delong itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk proses pengesahan identiti dan siasatan lanjut.
Kejadian berlaku pada Sabtu lepas kira-kira pukul 5.54 petang ketika mangsa mandi bersama empat rakannya di sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras semasa aktiviti mandi-manda itu.
“Mangsa berasal dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan kejadian ini merupakan satu tragedi yang menyedihkan,” katanya. – Bernama