IPOH: Anak sulung yang menjadi harapan untuk mengubah nasib keluarga pergi buat selama-lamanya dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik awal pagi Isnin.
Seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan itu, Fatin Nasrien Fadli, 22, pernah menyatakan hasrat mahu membantu keluarga selepas tamat pengajian namun niat murninya itu tidak kesampaian.
Menurut bapanya, Fadli Abdul Rahman, 50, Fatin Nasrien merupakan anak sulung daripada lima beradik dan amat disayangi kerana bersikap penyayang, rajin belajar serta menghormati orang tua.
“Arwah memang bijak dalam subjek matematik dan sering mendapat keputusan cemerlang di Fakulti Sains dan Matematik, UPSI,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.
Menurut Fadli walaupun masih dilanda kesedihan, beliau sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT.
Mengimbas kenangan terakhir bersama mangsa, katanya ketika Fatin Nasrien pulang menyambut Aidiladha minggu lepas, anaknya itu ada meminta wang sebanyak RM100 bagi menampung tambang pergi balik ke kampus.
“Fatin sudah beberapa kali menaiki bas dari kampus untuk pulang ke kampung kami Kampung Kerandang, Besut. Saya sendiri yang menghantarnya ke bandar Jertih untuk menaiki bas tersebut, tak sangka saya akan pulang bersama jenazahnya dalam van,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara kepada seorang lagi mangsa yang maut, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, yang berasal dari Kampung Bharu Tok Dor, Jertih berkata keluarga Allahyarham amat sedih dengan pemergian anak pertama daripada tiga beradik itu.
Mohd Izzuddin Manaf, 37, berkata abangnya telah membuat pengecaman jenazah Allahyarham dan berasa amat sebak selepas itu.
“Saya agak rapat dengan Allahyarham kerana pernah tinggal bersama keluarga mereka ketika Allahyarham berusia 10 tahun di Port Dickson, Negeri Sembilan. Saya sempat berjumpa Allahyarham pada Aidiladha lepas dan beliau tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 1.10 pagi di JRTB berdekatan Tasik Banding, Gerik, 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas sewa khas yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim, Perak.
Terdahulu, UPSI dilaporkan telah mengenal pasti identiti semua pelajar yang maut dalam nahas berkenaan termasuk Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Fakhrul Arif Rosdi, 20, dan Nurul Fatihah Abu Setaman, 22.
Turut terkorban Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22.