KUALA LUMPUR: Tragedi kemalangan bas sewa khas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak yang mengorbankan 15 nyawa mengundang reaksi sedih dan dukacita di seluruh negara.

Barisan anggota Kabinet dan rakyat pelbagai lapisan membanjiri media sosial untuk menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa selain menitipkan doa agar mereka tabah menempuh waktu yang sukar ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa agar mereka diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat itu.

“Marilah bersama-sama kita doakan semoga roh semua yang terkorban diampunkan dosa, diangkat kemuliaan mereka serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pemergian mangsa bukan sekadar kehilangan buat keluarga malah satu kehilangan buat ummah.

“Saya amat sedih apabila dimaklumkan bahawa mangsa yang terlibat adalah pelajar-pelajar yang ingin kembali ke UPSI setelah tamat cuti Aidiladha. Mereka ini adalah fi sabilillah, penuntut ilmu di jalan Allah,” katanya.

Turut mengucapkan takziah di laman sosial rasmi masing-masing ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan turut mendoakan agar mangsa yang terselamat serta cedera diberikan kesembuhan segera.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini. Semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang amat sukar ini.

“Buat para pelajar yang masih dirawat, saya doakan semoga segala urusan anda dipermudah,” katanya.

Kerajaan Negeri Perak dan Pahang turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa tragedi itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mewakili kerajaan dan rakyat negeri itu, melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa menerusi hantaran di laman Facebook.

“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Kepada mangsa yang sedang dirawat, saya doakan agar dikurniakan kesembuhan yang segera dan sempurna,” katanya.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak turut menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh mangsa kemalangan bas itu dicucuri rahmat Allah SWT.

Semakan di laman sosial X pula mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa sedih dan simpati susulan tragedi pilu itu malah perkataan UPSI dan tanda pagar #UPSIberduka turut sohor kini di platform berkenaan.

“Allahuakbar... sedihnya baca berita adik-adik UPSI yang kemalangan dan meninggal (dunia), harapan keluarga untuk menggapai segulung ijazah, semoga keluarga tabah mengharungi episod duka dan pilu ini,” kata @ing_naJ.

Seorang lagi pengguna aplikasi itu, @DaliliAziz berkata: “Innalillahiwainnailaihirojiuun... rasa sesak dada baca berita ni, sebab it could be me on the bus too, on that road, at the exact same time... memang selalu naik bas malam... semoga arwah diberikan keampunan dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman... amin”.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata 15 pelajar UPSI maut dalam nahas itu yang membabitkan bas sewa khas yang dinaiki mereka dan sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.