IPOH: Polis telah menerima satu rakaman video daripada kamera papan pemuka yang dipercayai merakam detik-detik awal nahas tragis membabitkan sebuah bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata rakaman itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat dan akan menjadi bahan penting dalam siasatan insiden tersebut.

“Kita akan rakam keterangan daripada pemilik rakaman itu dalam masa terdekat. Berdasarkan video tersebut, bas dilihat meluncur laju sebelum melanggar penghadang jalan yang kemudiannya menembusi bas itu dari depan,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, hari ini.

Beliau berkata impak pelanggaran turut menyebabkan penumpang di bahagian kiri bas mengalami kecederaan serius.

“Penumpang di bahagian kiri bas yang terlibat secara terus kerana penghadang mengenai kiri bas, yang cedera juga banyak yang sakit di bahu kiri kerana terlepas dari tempat duduk kanan ke kiri,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video papan pemuka milik pemandu kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian. Video berdurasi beberapa saat itu menunjukkan bas berkenaan cuba memotong kenderaan tersebut sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Noor Hisham berkata selepas bas bergesel dengan penghadang jalan, bas yang terbabas itu telah tersangkut dan penumpang agak bernasib baik kerana tidak terhumban ke dalam gaung di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan punca insiden itu kini giat dijalankan walaupun polis masih belum menerima laporan daripada mangsa yang terselamat kerana mereka masih trauma dan belum bersedia untuk ditemu bual.

Dalam tinjauan di lokasi kejadian pagi tadi, beliau turut mengakui faktor persekitaran jalan turut menjadi perhatian utama dalam siasatan.

“Keadaan jalan yang gelap dan ketiadaan cat garisan jalan adalah antara penyumbang berlakunya nahas. Perlu ada perhatian khas daripada pihak berwajib bagi melihat keselamatan di jalan berkenaan kerana tiada garisan di atas jalan,” katanya.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan dari semua sudut termasuk kemungkinan kecuaian manusia atau masalah teknikal.

Sementara itu, proses bedah siasat ke atas semua 15 mangsa selesai petang tadi melibatkan 13 mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan dua lagi di Hospital Gerik.

Dua jenazah dari Hospital Gerik mula dibawa pulang ke Terengganu pada 6.25 petang atas permintaan keluarga manakala selebihnya dijangka bergerak lebih awal daripada jadual asal pada tengah malam ini.

“Jenazah akan dibawa melalui JRTB dengan diiringi polis kontinjen Perak dan Kelantan,” katanya.