JERTIH: Jenazah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad dan Muhammad Adib Hazim Halim yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, Gerik, Perak pada awal pagi Isnin selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Hujan renyai mengiringi pengebumian Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer, Kampung Raja, Besut, pukul 11.37 malam ini.

Terdahulu, van membawa jenazah dari Hospital Gerik tiba di Kampung Amer, Kampung Raja pada 10.50 malam sebelum solat jenazah dilaksanakan di Masjid Al-Mukhlisin dengan dihadiri lebih 500 individu terdiri daripada keluarga terdekat, rakan-rakan dan penduduk kampung.

Sementara itu, jenazah Muhammad Adib Hazim, 21, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak, Hulu Besut dekat sini, pada 12.15 tengah malam.

Sebaik tiba di Besut dari Hospital Gerik, jenazah disolatkan di Masjid Hadhari di sini sebelum disolatkan sekali lagi di Surau Kampung Pasir Badak pada 11.20 malam.

Pengebumian pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) berusia 21 tahun itu dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan.

Muhammad Adib Hazim yang merupakan anak ke enam daripada tujuh beradik meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital awal pagi tadi.

Sementara itu, 13 lagi jenazah pelajar yang maut kini dibawa dengan van dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak ke masjid sama untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Konvoi van jenazah meninggalkan Jabatan Forensik HRPB menuju ke ke Jertih pada 8.55 malam dan dijangka tiba di Masjid Hadhari pada 2 pagi.

Dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang mereka sewa khas dari Jertih ke Tanjung Malim terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding, Perak.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.