KUALA LUMPUR: Walaupun lebih 24 jam telah berlalu, kisah seekor ibu gajah yang setia menunggu anaknya yang mati akibat dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi semalam terus meruntun hati rakyat Malaysia.
Kisah tragis yang berlaku pada sambutan Hari Ibu itu mengajar kita bahawa naluri keibuan dan kasih sayang bukan hanya dimiliki manusia, bahkan turut dirasai oleh haiwan, walaupun tanpa suara.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Amir Faizal menerusi perkongsian secara langsung pagi ini berkata ketika kejadian berlaku, beliau sedang membuat rondaan pemantauan keselamatan di JRTB dan dapat mendengar dengan jelas tangisan ibu gajah berkenaan.
“Kalau lihat pada bahagian hadapan lori, memang ada kerosakan. Tapi kerosakan itu berpunca daripada tindakan ibu gajah yang menolak lori tersebut berulang kali kerana cuba menarik keluar anaknya.
“Ibu gajah terus mencuba, berkali-kali, sebab ketika itu anaknya masih hidup. Tapi ia tidak mampu menolak lori itu kerana terlalu berat. Itulah seorang ibu, tetap berusaha melakukan yang terbaik demi anaknya,” katanya dalam siaran langsung berdurasi kira-kira 45 minit.
Mohd Amir berkata selepas gajah itu diberikan ubat penenang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kaki dan lehernya perlu digari.
Ketika itu, beliau membantu dengan menutup mata gajah menggunakan kain supaya haiwan itu tidak menyedari apa yang sedang dilakukan terhadapnya.
“Masa saya letakkan tangan menutup mata gajah, saya dapat rasakan kesedihannya. Saya menggosok badannya agar tidak agresif kerana saya dapat merasakan emosi ibu gajah yang sedang meratapi kehilangan anak,” katanya.
“Saya sendiri tidak dapat menahan air mata melihat detik itu,” katanya dalam nada sebak.
Mohd Amir berkata ibu gajah itu juga dilihat cuba menolak lori yang melanggar anaknya dalam usaha mengeluarkan anaknya yang ketika itu masih bernyawa dan bergerak. Tindakan penuh kasih seekor ibu itu menyebabkan bahagian hadapan lori mengalami kerosakan.
Paling menyayat hati, katanya, ialah apabila ibu gajah itu meletakkan kepalanya ke dinding lori dalam keadaan lemah selepas diberi ubat penenang, seolah-olah meratapi nasib anaknya yang sudah tidak bernyawa.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook Amirul Abraham, menulis: “Gajah bukan haiwan biasa. Ia ada memori, ada emosi. Antara keduanya, yang paling besar dia miliki adalah cinta.
“Kalau manusia pun sanggup bergadai nyawa demi anak, apatah lagi makhluk yang tidak pernah mengenal erti benci. Ibu gajah itu terus menunggu, bukan kerana dia tidak tahu anaknya sudah tiada,” katanya.
Pengguna aplikasi X dikenali sebagai Rohirrim pula berkata: “Inilah makna dan erti sebenar Hari Ibu. Haiwan juga makhluk Allah yang wajar dikasihi seperti manusia. Semoga pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk ibu gajah tersebut.”
Seorang lagi pengguna, Apip Amran, menulis: “Pada Hari Ibu Sedunia, seekor ibu gajah di Gerik kehilangan anaknya yang dirempuh lori.
“Tiada hadiah yang lebih memilukan... hanya doa agar si kecil kini tenang di tempat yang lebih baik. Sebuah kehilangan yang merobek jiwa, di hari yang sepatutnya penuh kasih.”
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seekor gajah dewasa cuba menolak sebuah lori selepas anaknya, yang dianggarkan berusia lima tahun, dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat tersebut.
Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku di Kilometer 80 Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli pada 2.50 pagi Ahad.