SEREMBAN: Penantian 10 tahun akhirnya berakhir apabila Negeri Sembilan mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) STPM 2024 sebanyak 2.86, mengatasi PNGK kebangsaan (2.85) buat kali pertama sejak 2014. Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mengaitkan kejayaan ini dengan komitmen tinggi pendidik dan sokongan kerajaan negeri.
“Walaupun hanya 0.01 lebih tinggi, ini pencapaian bermakna. Kami sangat menghargai usaha semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, dan pelajar,“ kata Aminuddin selepas majlis penyampaian keputusan di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz hari ini.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta untuk pendidikan tahun lepas, termasuk RM100,000 bagi program tuisyen STPM melalui Yayasan Negeri Sembilan. Peruntukan dijangka meningkat tahun ini bagi memacu daya saing pendidikan negeri.
Hew Siow Xuan, 20, pelajar terbaik aliran Sains dari KTE Tuanku Muhriz, berkata dia mengikuti kelas tambahan lapan jam setiap hujung minggu. “Saya berharap dapat melanjutkan pengajian dalam Kejuruteraan Petroleum,“ katanya.
Muhammad Fahrin Danial Abd Aziz, 20, pelajar cemerlang SMK Mantin, menekankan kepentingan keseimbangan akademik dan spiritual. “Solat, hubungan dengan Allah, serta hormat kepada ibu bapa dan guru adalah kunci kejayaan,“ ujarnya.