KUALA LUMPUR: Netizen meluahkan rasa bangga apabila lagu Anta Permana nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza tersenarai sebagai antara lagu pilihan peribadi Raja Britain Raja Charles III.

Senarai lagu pilihan peribadi baginda itu dikongsikan menerusi siaran program The King’s Music Room di aplikasi Apple Music bersempena dengan Hari Komanwel yang disambut pada Isnin kedua setiap Mac.

Pemilihan lagu yang dilancarkan pada 2018 itu dianggap oleh netizen dan rakyat negara ini sebagai bukti bahawa muzik Malaysia mampu menembusi sempadan antarabangsa.

Di Instagram @i.am.khairul.anwar mengucapkan tahniah, terutamanya buat Hael dan Ezra kerana menghasilkan karya bertaraf dunia dan diminati pendengar luar, yang juga bukti karya mereka mereka “mahal dan eksklusif.”

@Md.ikmns pula menyatakan “lagu Anta Permana ni muzik dengan lirik dia macam vibes raja gitu.” Di Facebook, Adam Adnan menyatakan “perghhh bukan kaleng-kaleng, sesuai dengan level Siti... suara dia dah memang legend.. suara anak Melayu sejati.”

@NurAinfleur pula menulis “ Ada 56 negara Komanwel. Tapi hanya 17 lagu yang dipilih masuk playlist, dan hanya empat bukan dalam Bahasa Inggeris .. Jelas playlist dipilih bukan sebab Malaysia antara negara Komanwel (semata-mata).”

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza mengakui gembira, bangga dan terharu apabila dimaklumkan lagu Anta Permana berada dalam senarai lagu kegemaran Raja Charles.

“Muzik melangkaui budaya, bangsa, bahasa. Tidak sangka lagu Anta Permana jadi pilihan dan dalam masa sama Raja Charles III tahu lagu itu tentang cinta.

“Muzik kita juga boleh merentasi sempadan dunia, dan dengan adanya teknologi yang pelbagai, muzik atau karya kita didengar seluruh dunia,“ ujarnya menerusi video temu bual dengan sebuah stesen radio yang dikongsikan di Instagram beliau.

Pencipta lagu tersebut Hael Hussaini juga tidak menyangka dengan pemilihan lagu yang dicipta bersama-sama dengan Ezra Kong itu.

“ Alhamdullilah Proud ( to be Malaysian) ,” tulisnya pada kapsyen di Instagram disertai gambar bendera Malaysia.

Senarai seleksi Raja Charles itu dikumpulkan khas di platform terbabit dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist, menampilkan gabungan muzik dari seluruh dunia.

Lagu ikonik itu disenaraikan bersama-sama dengan 16 dendangan artis lain termasuk Bob Marley, Diana Rose, Kylie Minogue, Grace Jones, Beyonce dan Michael Buble.

Berdurasi satu jam 10 minit, seleksi kesukaan Raja Britain itu turut dikongsikan secara eksklusif di media sosial rasmi The Royal Family.