IPOH: Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menafikan Sistem Keselamatan Penumpang (PIES) di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa gagal berfungsi ketika kejadian seorang penumpang orang kurang upaya (OKU) maut digilis, dua hari lepas.
Beliau berkata sistem berkenaan berfungsi seperti biasa namun oleh kerana tren telah sampai ke destinasi, kejadian malang tersebut tidak boleh dielak.
“Sistem berfungsi. Kadangkala kalau ada objek terjatuh sistem bertindak memberhentikan tren, tapi kebetulan tren telah sampai (ketika kejadian). Jadi, ia tidak sempat untuk memberhentikan tren, ini bukan sebab PIES gagal,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran BAS.MY Ipoh di sini hari ini.
Pada Sabtu lepas, seorang lelaki OKU penglihatan maut digilis tres selepas terjatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa.
PIES bertindak memberhentikan tren yang sedang menghampiri platform secara serta-merta apabila mengesan ada objek terjatuh ke atas landasan.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang dalam usaha menambah baik infrastruktur keselamatan di semua stesen LRT terutama yang telah lama beroperasi termasuk stesen Titiwangsa.
Menurut beliau, ia termasuk memasang pintu penumpang yang menghadang antara stesen dan tren.
“Stesen Titiwangsa misalnya memang tiada pintu penumpang, ia telah lebih 20 tahun beroperasi, dan kita berharap dapat tambah baik kemudahan di stesen tersebut untuk keselamatan penumpang, namun tentunya mengambil masa kerana kita lakukan secara berfasa,” katanya.
Loke berkata sebagai langkah segera, MOT telah meminta petugas keselamatan di stesen terbabit supaya lebih berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan semua penumpang terutama OKU terjamin.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata tiket bagi perjalanan Keretapi Tanah Melayu (KTM) termasuk perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) akan ditambah sempena sambutan Aidilfitri.
“Syarikat-syarikat bas digalakkan untuk mula memohon permit tambahan atau sementara, kita akan berikan kelulusan untuk perjalanan tambahan, KTM juga akan menambah perjalanan mereka,” katanya.